Wednesday








Sinopsis :

Tidak pernah tahu dengan siapa cinta itu akan bertaut. Namun bukan
semua elok dipandang dan direstu. Perbezaan umur dan taraf hidup, 
jurang yang besar menuntut kepastian. Walaupun Izan Ezany tidak
pernah cuba mengingati seseorang bernama kawan, tetapi pada
Dhiya Zulaikha, cinta pertama adalah cinta sejatinya. Izan Ezany,
'playboy' yang tidak pernah gagal dalam mencairkan hati wanita.
Dia menjadikan dadah sahabat terbaik tatkala menemui jalan buntu.

Segala-galanya berubah dalam sekelip mata, ada yang cuba menerima
dan memahami, tetapi kebanyakan mereka lebih suka menuding jari dan
menggalaskan semua tanggungjawab ke bahunya.  Satu-persatu hidup
yang jelas diragut menjadi satu mimpi ngeri yang tidak mahu menghilang.
Dia hanya mampu tersedar apabila segalanya telah terlalu lewat.

Namun bibit-bibit keinsafan masih wujud di dalam diri. Dia menjadi lebih
tabah menghadapi sebuah hakikat yang tidak boleh diubah, bersama
satu-satunya insan yang meletakkan kepercayaan pada dirinya.
Kebahagiaan yang digenggam hanya seketika bila adik lelakinya,
Fariz Ezany menyimpan perasaan kepada perempuan yang dia paling
sayang. Bila diri sendiri disahkan mengidap kanser darah, bila adik
perempuannya Zana tidak mahu melihat ada bahagia yang wujud
di dalam hidupnya, Izan Ezany mengambil keputusan untuk mengundur diri.

Mungkinkah Dhiya Zulaikha dapat memahami dan menerima
keputusan lelaki yang dicintai sejak kecil lagi? Adakah
Dhiya Zulaikha sudi menerima Fariz sebagai suaminya?
Adakah segalanya akan berakhir setelah Izan Ezany
mengorbankan seluruh kehidupan sendiri? Atau masih ada
ruang keampunan buat insan kerdil itu menggapai bahagia?
Benarkah hukuman mati itu ditakdirkan untuknya demi membayar 
dosa masa silam ? Atau ia cuma ujian Tuhan untuk hambanya lebih tabah?